Sunday, 23 February 2014

JANGAN DERHAKA PADA SUAMI

7 Tanda Isteri Derhaka Kepada Suami

1 - Menghina atau mengumpat suami

Bersifat amanah iaitu menjaga maruah diri sendiri sebagai isteri dan menjaga maruah suami terutama di dalam perkara-perkara rahsia peribadi dan rumah tangga. Isteri ialah orang yang paling hampir kepada suami yang tahu segala kekurangan dan kelemahan suaminya. Membuka rahsia suami atau menyebarkannya akan menjejaskan kewibawaan suami, sekali gus menggugat keharmonian rumah tangga kerana suami telah hilang kepercayaan terhadap isteri. Jika membuka rahsia suami dianggap menjejaskan kewibawaan suami, apatah lagi menghina atau mengumpat suami.

2 - Mengherdik dan menceritakan kelemahan serta kekurangan suami pada orang lain

Sifat ini terlalu berat dan buruk untuk ditanggung oleh seorang suami. Si isteri tidak sepatutnya dalam apa keadaan sekalipun mengherdik dan menceritakan kelemahan serta kekurangan suami pada orang lain. Adalah sepatutnya kita sebagai isteri sentiasa bersedia untuk menggembirakan hati suami, sama ada dengan tingkah laku yang menawan, tutur kata yang menjadi penawar serta perhiasan diri zahir dan batin. 

Rasulullah saw bersabda :

Tiada faedah yang paling baik diperoleh seorang mukmin (suami yang beriman) selepas bertaqwa kepada Allah azza wa jalla selain isteri yang solehah.

3 - Isteri keluar rumah tanpa kebenaran suami

"Apabila perempuan keluar rumah, sedangkan suaminya membencinya, dia dilaknat oleh semua malaikat di langit, dan semua apa yang dilaluinya selain daripada jin dan manusia sehingga dia kembali."

(Diriwayatkan oleh Thabarani di dalam al-Awsat) 

4 - Isteri mendoakan kecelakaan buat suami

Isteri yang solehah adalah isteri yang sentiasa mendoakan kebaikan, kesejahteraan dan rahmat Allah swt bagi suaminya dan bukannya sebaliknnya. 

5 - Membenci kegemaran suami

Mengakui dan menerima kenyataan bahawa suami adalah ketua di dalam kepimpinan keluarga sesebuah rumah tangga. Tiada siapapun yang menyangkal bahawa suami telah diberikan kelebihan satu darjah daripada isteri. Satu kurniaan Allaw swt yang meletakkan suami bertanggungjawab menjaga serta mengawal keselamatan dan kesejahteraan perjalanan hidup keluarganya di dunia dan akhirat serta suami wajib memberi nafkah isteri dan anak-anaknya. Sememangnya ada ketika dan masa kita rasa kehendak kita sebagai isteri tidak dipenuhi sewajarnya. Namun yang demikian itu tidak bermakna kita dengan sewenang-wenangnya berhak menafikan kesukaan atau kegemaran si suami.

Firman Allah :

Kaum lelaki itu adalah pemimpin bagi kaum wanita, oleh kerana Allah telah melebihkan sebahagian mereka (lelaki) atas sebahagian yang lain (wanita), dan kerana mereka (lelaki) telah menafkahkan sebahagian daripada harta mereka. (An-Nisa : 34)

6 - Menjadi tekanan kepada suami

Tidak dinafikan keadaan ekonomi hari ini adakalanya mampu memberi impak besar kepada sesebuah institusi kekeluargaan. Namun begitu, si isteri perlu bersikap bijaksana dan rasional dalam mentadbir harta benda suami tanpa membazirkannya. Jangan meminta sesuatu yang di luar kemampuannya kerana hal yang demikian akan menyebabkan tekanan dan ketegangan di dalam kehidupan suami. Di samping itu juga, adalah lebih baik jika si isteri sama-sama membantu menguruskan rumahtangga agar ini dapat mengurangkan tekanan kepada si suami.

Apabila suami menyuruhnya, ia mentaatinya. Jika suami memandangnya ia menggembirakan hati suaminya. Sekiranya suami bersumpah, ia memenuhi sumpah suaminya itu. Apabila ia keluar kerana bertugas atau berjuang, ia menjaga maruahnya dan maruah suaminya serta menjaga harta benda suaminya dengan cara berjimat cermat membelanjakannya.

(Riwayat Ibnu Majah)

7 - Mengungkit-ungkit janji suami

Redha dan bersyukurklah dengan setiap pemberian suami. Sesungguhnya itulah nikmat dan rezeki yang terbaik bagi isteri.

Sabda Rasulullah saw :

"Aku lihat api neraka, tidak pernah aku melihatnya seperti hari ini, kerana ada pemandangan yang dahsyat di dalamnya. Telah aku saksikan kebanyakan ahli neraka ialah wanita. Rasullullah saw ditanya: "Mengapa demikian ya Rasulullah?" Baginda menjawab: "Wanita mengkufurkan suaminya dan mangkufurkan ihsannya. Jikalau engkau berbuat baik kepadanya seberapa banyak pun dia masih belum merasa berpuas hati dan merasa cukup."

(Riwayat al-Bukhari)

SURAH SURAH UNTUK AMALAN IBU HAMIL

Nikmat mengandung dan melahirkan anak adalah nikmat yang cukup berharga yang dikurniakan Allah SWT kepada wanita. Pengalaman selama tempoh mengandung dan melahirkan adalah cukup indah dan berharga. Tempoh mengandung adalah detik emas yang seharusnya dimanfaatkan sebaik-baiknya oleh bakal ibu dan ayah. Semasa mengandung, bakal ibu sangat digalakkan untuk memperbanyakkan amal ibadah antaranya bertaubat kepada Allah SWT, membanyakan zikir dan doa serta membaca Al-Quran. Setiap surah yang ada di dalam Al-Quran mempunyai kelebihannya tersendiri. Antara surah amalan ketika mengandung ialah surah al-Fatihah, surah Maryam, surah Yusuf dan surah Luqman.

- Surah al-Fatihah

Ibu mengandung digalakkan membaca surah al-Fatihah sebanyak 70 kali setiap hari dalam keadaan berwuduk, semoga zuriat yang dilahirkan memperoleh ilmu pengetahuan disamping dapat mengawal hati dan fikiran daripada perkara mazmumah..

-Surah Yusuf

Surah Yusuf telah diturunkan di Makkah dan mengandungi 111 ayat. Dinamakan Yusuf kerana hampir keseluruhan dipenuhi akan kisah Nabi Yusuf a.s yang bermula dari ayat 4 hinngga 101. Ibu yang sedang mengandung disarankan agar memperbanyakkan membaca surah Yusuf agar dikurniakan zuriat yang soleh, cerdik, tampan dan tabah menghadapi ujian.

- Surah Luqman

Dalam pengkisahan Luqman dengan anaknya, Allah SWT menegaskan tentang wajibnya manusia bersyukur akan segala nikmat yang telah dianugerahkan kepada mereka dan wajib menjauhi perkara syirik. Ibu yang mengandung dianjurkan supaya membanyakkan membaca surah Luqman agar bayi yang dalam kandungan akan dikurniakan kebijaksanaan akal fikiran dan hikmah yang tersirat apabila lahir ke dunia, insya-Allah.

-Surah Maryam

Ibu yang sedang hamil disarankan untuk membanyakkan membaca surah Maryam agar bayi yang dilahirkan nanti mempunyai akal yang cerdas dan hati yang sabar dan cekal dalam menempuhi ujian. Amalan surah Maryam juga memudahkan ibu semasa melahirkan anak.

KELEBIHAN WANITA HAMIL (MORNING SICKNESS)

Kelebihan bagi wanita-wanita mengandung yang mengalami mual atau muntah terutamanya di awal kehamilan:

1. Risiko keguguran lebih rendah dibanding dengan mereka yang tidak mengalaminya.

2. Mual merupakan mekanisme perlindungan untuk embrio yang masih muda. Kepekaan ibu terhadap pelbagai makan dapat menjauhkannya dari makanan yang berpotensi membahayakan si bayi yang belum lahir.

3. Kematian bayi selepas dilahirkan lebih rendah pada wanita yang mengalami mual-mual.

4. Mual-mual berkaitan dengan rendahnya risiko kelahiran pra-matang.

5. Lebih tingginya berat lahir.

6. Lebih rendahnya kecacatan selepas dilahirkan.

7.Ukuran plasenta bertambah - Kurang makan disebabkan mual menyebabkan kurangnya pertambahan berat badan di awal kehamilan. Kurangnya berat badan menyebabkan peningkatan ukuran plasenta yang menyalurkan darah kepada janin yang sedang tumbuh. Plasenta yang lebih besar menjamin tersedianya makan dan oksigen yang sihat.

SENTIASA MENJAGA KESIHATAN

KEISTIMEWAAN DAN GANJARAN WANITA YANG HAMIL

1. Apabila seorang wanita hamil, maka beristighfarlah para malaikat untuknya. Allah SWT akan mencatatkan baginya setiap hari dengan 1,000 kebaikan dan menghapuskan darinya 1,000 kejahatan.

2. Wanita hamil perolehi pahala puasa di siang hari dan pahala ibadat di malam hari.  Rasulullah menyatakan bahawa wanita hamil akan memperolehi pahala puasa di siang hari dan pahala ibadat di malam hari. Ini disebabkan kerana ibu yang hamil bererti membawa amanah Allah ke sana ke mari, sehingga wajar apabila ia memperolehi pahala yang besar di sisi Allah .

3. Wanita yang bersalin akan mendapat 70 tahun solat dan puasa pada setiap kesakitan pada satu uratnya akan dikurniakan oleh Allah SWT satu pahala haji.

4. pabila seseorang wanita mulai sakit hendak bersalin, maka Allah SWT akan mencatatkan baginya pahala orang yang berjihad di jalan Allah.

5. Apabila seseorang wanita melahirkan anak, keluarlah dia daripada dosa-dosa seperti keadaan ibunya melahirkannya.

6. Sekiranya seorang wanita meninggal dunia di dalam tempoh 40 hari selepas bersalin, dia akan dikira sebagai mati syahid.

7. Jika seorang wanita menyusukan bayinya hingga cukup tempoh (2 1/2 tahun), malaikat-malaikat di langit akan mengkhabarkan berita gembira bahawa syurga wajib baginya.

8. Jika seorang wanita menyusukan anaknya yang menangis, maka Allah SWT akan memberikan pahala satu tahun solat dan puasa.

9. Seorang wanita yang menghiburkan hati anaknya maka Allah SWT akan memberikan 12 tahun pahala ibadat kepadanya.

10. Rakaat solat seorang ibu mengandung adalah lebih baik daripada 80 rakaat solat seorang wanita yang tidak hamil.Rasulullah menyebutkan bahawa dua rakaat solat wanita hamil lebih baik dari 80 rakaat solat wanita yang tidak hamil. Ini kerana wanita yang hamil membawa janin di dalam perutnya di mana janin berkenaan turut menyertai ibunya solat, mendengar bacaan-bacaan solat, ikut sujud bersama.

Saturday, 22 February 2014

TANGGUNGJAWAB ISTERI DALAM ISLAM

TAAT

Tanggungjawab utama seorang isteri ialah isteri perlulah taat dan patuh kepada suaminya. Kesetiaan isteri kepada suaminya perlu diutamakan terlebih dahulu lebih daripada keluarga terdekatnya sendiri.

Ini berdasarkan kepada sabda Rasulullah SAW:

Sekiranya aku ini orang yang menyuruh mana-mana orang supaya sujud kepada orang lain tentu sekali aku akan menyuruh isteri sujud kepada suaminya.

(Riwayat Abu Daud dan al-Hakim)

Isteri hendaklah mematuhi perintah si suami asalkan ia tidak bertentangan dengan ajaran Islam. Andainya suami menyuruh melakukan dosa maka isteri dibenarkan membantah.

Sabda Rasulullah SAW:

Tidak boleh memtaati mahluk dalam perkara menderhaka kepada Allah SWT.

(Riwayat Ahmad)

Setelah berkahwin, suami mempunyai hak ke atas isteri. Oleh sebab itu, jika isteri ingin keluar rumah atau berpuasa sunat, ia hendaklah meminta izin daripada suami.

Sabda Rasulullah SAW:

Tidak halal bagi sesorang isteri yang beriman dengan Allah dan hari akhirat untuk berpuasa, sedangkan suaminya ada di sampingnya kecuali dengan keizinan suaminya itu.

(Riwayat al-Bukhari, Muslim, dan Ahmad Ibn Hanbal)

Larangan berpuasa tanpa keizinan suami ini diwujudkan kerana dikhuatiri si isteri tidak dapat melayan kemahuan si suami dengan baik. Oleh sebab itu, meminta izin adalah sangat penting.

MELAYAN SUAMI

Si isteri juga hendaklah melayan kehendak suami dengan baik pada bila-bila masa sahaja. Hubungan yang perlu dijaga ialah hubungan kelamin antara kedua-duanya. Oleh sebab itu, si isteri hendaklah memastikan bahawa ia melayan kehendak suaminya.

Sabda Rasulullah SAW:

Apabila seorang suami mengajak isterinya ke tempat tidur, tetapi ia enggan melayan ajakan suaminya, maka suami tidur dengan marah pada waktu malam itu, nescaya malaikat mengutuknya sampai waktu subuh.

(Riwayat sebahagian Ahli Sunnah)

Untuk mengelakkan daripada digolongkan dalam golongan yang ingkar, maka isteri perlulah memenuhi kemahuan si suami jika tidak mempunyai alasan yang kukuh untuk menolaknya.

MENGURUS RUMAHTANGGA

Tugas seorang isteri ialah untuk menjadikan tempat tinggalnya sebagai satu tempat untuk berehat serta menghasilkan persekitaran yang menyenangkan. Isteri hendaklah menghias rumah itu supaya ia kelihatan damai dan rasa senang hati untuk tinggal di situ. Untuk menghias rumah itu, si isteri perlulah menghias mengikut kemampuan keperluan keluarga itu. Citarasa hiasan dalaman itu bergantung kepada suami isteri asalkan ia tidak melanggar hukum Islam.

MENJAGA MARUAH DIRI, SUAMI DAN KELUARGA

Sebagai seorang isteri, isteri hendaklah menjaga maruah dan akhlak terutamanya apabila keluar dari rumah. Apabila si isteri keluar rumah kerana sebab-sebab tertentu seperti bekerja, melawat sanak saudara atau keluar membeli-belah, pakaian yang dipakai hendaklah menutup aurat dan tidak menjolok mata, berjalan dengan cara yang tidak menarik perhatian ramai serta berkelakuan baik. Si isteri perlulah menundukkan pandangan serta menjauhkan dirinya daripada segala fitnah yang mungkin akan berlaku.

Firman Allah:

Hai Nabi, katakanlah kepada isteri-isterimu, anak-anak perempuanmu dan isteri-isteri orang mukmin: “Hendaklah mereka menghulurkan Jilbabnya ke seluruh tubuh mereka”. Yang demikian itu supaya mereka lebih mudah untuk dikenal, kerana itu mereka tidak diganggu. Dan Allah adalah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.”

(Al-Ahzab: 59)

Seperti juga tanggungjawab si suami terhadap si isteri, segala kecacatan yang ada pada si suami hendaklah dirahsiakan. Ini adalah untuk mengelakkan perasaan aib timbul yang boleh menjurus kepada perbalahan. Sudah tentu perbalahan seperti ini perlulah dielakkan kerana ia boleh mengganggu pembentukan keluarga bahagia.

MENYENANGKAN HATI SUAMI

Apabila si suami memberikan pemberian dalam apa sahaja bentuk, adalah menjadi tanggungjawab si isteri untuk menghargai pemberian suami itu. Si isteri tidak boleh meminta-minta hadiah daripada si suami yang melebihi daripada kemampuannya. Jika mendapat hadiah walaupun yang kecil sahaja, isteri hendaklah menghargainya dan tidak mengkritik-kritik bentuk hadiah itu.